Pada awal 1981 Anwar Ibrahim menggemparkan negara. Pemimpin belia yang dilihat paling dinamik dan berbakat mencorakkan lanskap politik Malaysia mengumumkan dirinya menyertai Umno.
Perisytiharan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Perdana Menteri keempat Malaysia yang baru sahaja menaiki takhta beberapa bulan sebelumnya.
Negara terkesima. Takjub. Bagaimana Anwar yang belum lagi sempat melangsaikan perjuangan memimpin lebih 60 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika itu menentang pindaan Akta Pertubuhan yang dilihat mengongkong kebebasan berpersatuan boleh memilih menyertai parti kerajaan?
Maka pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri itu, wartawan tempatan dan antarabangsa bingkas bertanyakan prinsip perjuangan Anwar. Apakah sikapnya terhadap peraturan dan pelbagai akta yang mencengkam kebebasan dan hak rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah berubah?
Anwar menjawab ringkas tetapi tegas dan jelas : “Dulu kerajaan tidak mahu mendengar suara rakyat. Sebab itu, saya tentang. Tapi sekarang kerajaan (Dr Mahathir) lebih responsif terhadap tuntutan kita, maka kita harus bersikap lebih bertanggungjawab (responsible)”.
Bersorak Umno khasnya dan rakyat jelata amnya. Dr Mahathir pula meraih dividen politik yang amat besar dalam tempoh paling singkat memimpin Umno. Harimau muda dalam politik Malaysia itu berjaya dijinakkan dan rela bekerjasama dengannya.
Umumnya, sambutan terhadap pemikiran politik itu mendapat respons positif. Bayangkan anak muda yang bersuara lantang dan pernah ditahan di bawah ISA selama 22 bulan itu tiba-tiba menyuluh harapan baharu bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara lebih demokratik.
Hal ini disifatkan agak menakjubkan kerana tidak lama sebelum itu, Angkatan Belia Islam (Abim) yang dipimpin oleh Anwar membuat keputusan membenarkan beberapa pemimpin kanannya untuk menyertai PAS demi mengukuhkan gerakan Islam menawarkan alternatif kepada politik sekular di Malaysia yang ditunjangi Umno.
Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim mendewasakan diri dalam arena politik dengan meninggalkan Abim untuk menyertai PAS. Datuk Fadzil Noor diterima baik oleh PAS hingga dilantik menjadi presiden parti itu akhirnya.
Nakhaie pula selepas meningkat kedudukan dalam PAS hingga menjadi naib presiden berpatah balik dengan menyertai Umno untuk menuruti jejak Anwar.
Apa yang dapat diketengahkan di sini ialah pegangan dan prinsip politik Anwar. Oleh kerana ketika itu kata-kata “apabila kerajaan responsif maka rakyat harus bersikap bertanggungjawab (responsible)” keluar dari mulut seorang pemimpin muda maka ia menyimbahkan harapan baru untuk politik Malaysia.
Saingan Anwar dalam politik, terutama di kalangan Umno, amat berhati-hati dengan pemikiran politik yang bersih dan ikhlas Anwar itu. Enam bulan kemudian Anwar bertarung jawatan Ketua Pemuda Umno dan menang dengan majoriti 10 undi.
Kawan seperjuangan baik dalam Abim dan PAS kaget. Memang berkesan dan jelas pendirian politik Anwar hingga dihormati dalam Umno dan serangan terhadapnya pun mula mengendur. Kedudukan Anwar dalam Umno pun semakin kukuh hingga meningkat menjadi timbalan presidennya. Malah Anwar pun berpeluang memangku jawatan perdana menteri .
Namun agak mengecewakan apabila Anwar secara tidak terhormat terpaksa meninggalkan Umno, sikap bertanggungjawab beliau kerana meyakini kerajaan Mahathir yang responsif masih belum menjadi kenyataan.