Wednesday, November 16, 2011

Senarai Semak Persiapan Menghadapi Pr-Kampus

Wednesday, November 16, 2011 |
Pendahuluan
Pilihanraya Kampus (PRK) adalah platform untuk memilih pemimpin di kalangan mahasiswa. Pemimpin ini bakal digelar ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Umum mengetahui MPP adalah berperanan menjaga kebajikan mahasiswa dengan cara membawa suara mahasiswa ke telinga pentadbiran. Di samping itu mereka juga membentuk gagasan di kalangan majlis untuk menjalankan portfolio pentadbiran yang dipertanggungjawabkan oleh Yang Di Pertua / Presiden sebagaimana yang diamalkan di luar kampus.

Sejarah kampus telah menyaksikan usia gerakan kita sepanjang lebih suku abad telah banyak kali mencatatkan naik-turun sama ada menjadi pihak kerajaan mahupun pembangkang di dalam PMU. Alhamdulillah memasuki dekad tahun 2011, kita telah berjaya memenangi PRK dengan hampir membentuk 2/3 majoriti biarpun dengan beberapa peraturan PRK yang ‘luar biasa’ menjelang PRK.

Memahami Sejarah
Kita harus menyedari bahawa sejarah gerakan kita pernah mencatatkan kemenangan total 51-0 ke atas pihak lawan. Dan sejak itu, pihak penguasa negara memandang serius dengan PRK di IPT-IPT seluruh negara.

Bermula di UPM, lantas mereka bertindak menubuhkan kelab/persatuan yang memayungi pergerakan dan percaturan mereka di dalam kampus di seluruh IPT menjelang PRK sesi 2002/2003. Di atas percaturan mereka yang di luar jangkaan gerakan, banyak kampus yang tumbang setahun kemudian di dalam PRK.

Harus difahami modus operandi mereka agak mudah dan tidak memerlukan banyak gerak kerja; sekadar membonekakan kelab/persatuan tersebut, didaftarkan secara sah, kemudian pihak pentadbiran wajib memastikan kemenangan ke atas kelab/persatuan tersebut. Setelah mencapai kemenangan, MPP yang memenangi membentuk kabinet MPP yang tidak memperuntuk sebarang portfolio kepada MPP kita yang menang. Dengan ini, diharapkan pengaruh MPP kita bakal berkurangan dan gerakan kita akan lemah.


Kemenangan Selepas Tujuh Tahun
Benarlah firman Allah di dalam Al-Baqarah,ayat 138 “Celupan Allah , siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah.” Modus Operandi yang digariskan oleh pihak penguasa negara demi mengekalkan pengaruh mereka di dalam kampus semakin lama semakin gagal difahami. Biarpun acapkali diulangi perkataan ‘Aspirasi (hasrat) Universiti’ ironinya frasa tersebut akhirnya sekadar di bibir saban tahun sehingga langsung gagal difahami tokoh gerakan masa kini mereka.

Berkat tekad, kesabaran dan istiqamah kita melakukan gerak kerja demi memenangkan Islam di dalam kampus, kita berjaya mencapai kemenangan pada hari Isnin, malam Selasa 21 Februari 2011 yang lalu apabila pihak pentadbiran mengumumkan kemenangan 22 orang daripada 37 calon kita yang bertanding di kerusi umum dan fakulti-fakulti.

“Dan sesungguhnya Kami (Allah) akan benar-benar menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan agar Kami menyatakan (buruk baik) hal ehwal kamu,” Maksud Surah Muhammad : 31

Persiapan Asas Gerak Kerja
Penulis lebih gemar mengenengahkan isu fundamental / asas dalam menghuraikan persiapan kita menghadapi PRK. Memetik kata-kata Almarhum Syeikh Fathi Yakan di dalam kitab Maza Ya’ni Intima lil Islam (Apa Ertinya Saya Menggabungkan Diri Dalam Islam), Bab Saya Mesti Memahami Sejauh Mana Penggabungan Diri Dalam Gerakan Islam ada menyebut , “Gerakan Islam juga menolak penggabungan diri yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat..” (ms.194)

Diringkaskan, penulis lebih melihat persiapan ahli gerakan terutama pendokong yang memegang amanah menjadi barisan hadapan strategi dan kempen serta penerangan gerakan harus memegang sabda baginda SAW yang masyhur dan menjadi salah satu hadis wajib yang dihadami ahli gerakan;

Sesungguhnya amal itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa yang berhijrah kerana keduniaan (wanita), maka hijrahnya adalah (menurut tujuan) dia berhijrah.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Umar

Persiapan Teknikal
Persiapan-persiapan yang lain yang perlu disiapkan sebelum memasuki fasa pilihanraya kira-kira sebulan sebelum PRK pula merangkumi persiapan-persiapan teknikal yang bersifat persiapan awal seperti tenaga kerja, bengkel-bengkel kemahiran (asas dan lanjutan) di samping persiapan lain yang diputuskan di dalam syura unit-unit kecil seperti unit penerangan, kempen dan strategi.

Persiapan-persiapan lain termasuklah inisiatif sendiri di peringkat unit-unit kecil tersebut seperti mengadakan kelompok-kelompok (circles) kecil ahli-ahli lain di luar jentera untuk pengkhususan kerja seperti mencari ahli-ahli berbakat melukis, menulis, merekabentuk (designer) selain mencari ahli-ahli yang mampu mendapatkan maklumat umum sama ada di kolej kediaman, fakulti atau kawasan umum lain.

Harus difahami persiapan ini juga membabitkan para penyokong bertaraf tegar di kalangan rakan-rakan kita  yang boleh dipercayai. Hal ini demi memastikan keberlangsungan nafas gerakan kita dan juga sebagai salah satu medan dakwah kita apabila kita melibatkan rakan-rakan bukan ahli. Melalui gerak kerja yang kita lakukan, di situ terdapat ruang untuk kita tonjolkan bagaimana erti ‘politik Islam’ yang hendak ditawarkan kepada ummah sejagat.

Penutup
Setuju atau tidak, bermula daripada gerakan kita ini yang bakal mencorakkan fenomena semasa PRK nanti sama ada benar-benar berpencak atau tidak. Di sini peranan kita perlu dimainkan untuk kita mempamerkan perjalanan dan pengurusan siasah yang sebenar, bukan sekadar ‘asal boleh’ semata-mata. Ikhlaskan niat, suburkan dakwah, santuni siasah.


Related Posts




Tentang-Aku

My photo
kata salah ! tak kata salah ! dunia-oh-dunia !

MyPersonality

Click to view my Personality Profile page

Arkib

 
Copyright © dunia-oh-dunia ! | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog