Sunday, March 13, 2011

Ulama parti jangan hanya pikul kitab

Sunday, March 13, 2011 |


Apakah politik yang dimaksudkan dalam Islam dan apakah sebenarnya politik Islam?

Di Malaysia ada parti PAS – keanggotaannya untuk orang Islam, tidak kira bangsa, diterajui oleh ulama-ulama seperti didakwa pengikut mereka.

Pada zaman jahiliyah juga wujud parti politik seperti yang wujud kini, tetapi dalam bentuk suku-suku kaum yang tebal semangat perkaumannya iaitu assabiyah. Nabi tidak menyertai suku-suku itu walaupun ditawarkan jawatan pemimpin.

Sebaliknya nabi menyatukan kaum-kaum ini dengan ikatan Islam. Bagaimanakah nabi melakukannya? Jelas Nabi tidak mementingkan kekuasaan. Walhal jika baginda menerima tawaran itu, baginda akan berkuasa.

Tetapi apakah yang didahulukan baginda? Adakah Islam itu terbina dengan kuasa? Pada mata kasar, kuasa menguatkan Islam tetapi kekuasaan bagaimanakah yang menguatkan Islam?

Merasuah rakyat

Adakah kuasa itu didapati melalui cara merasuah masyarakat melalui tawaran keduniaan seperti gaji lebih tinggi, cuti lebih panjang atau menghapuskan saman kesalahan trafik?

Semua tawaran popular ini akan memusnahkan masyarakat pada akhirnya. Usaha berkenaan hanyalah untuk mengambil kesempatan ke atas sifat masyarakat itu sendiri kerana tawaran seperti itu akan menyebabkan masyarakat menjadi malas, tidak berdisiplin dan tidak menghormati undang-undang.

Politik sebenar dalam Islam dan politik nabi adalah dakwah, tarbiah dan tabligh kerana Islam bukan sekadar mengucap kalimah syahadah dan amalan solat, puasa, haji dan zakat untuk diulang ajar.

Kita harus akui bahawa kita sekarang berada pada zaman jahiliah moden dengan segala maksiat berleluasa. Tidakkah di sini perlunya dakwah dan bukannya politik kepartian?

Politik kepartian hanya boleh hidup dan menang jika dasar-dasarnya memuaskan kehendak dan nafsu pengundi. Politikus kepartian tidak akan dapat membentuk masyarakat untuk menuruti ajaran yang dimahukannya.

Kehendak masyarakat itu berbau keduniaan semata-mata dan akhirnya parti yang mendakwa Islam itu akan terpaksa mengalah dengan kehendak masyarakat.

Misalnya, PAS sebelum ini tegas dalam soal hiburan dan konsert. Namun, untuk memenuhi kehendak dan nafsu masyarakat, mereka terpaksa menceburi diri dengan unsur-unsur yang suatu masa dulu dikecam sebagai maksiat.

Sebagai contoh, PAS meraikan Kota Bharu sebagai bandaraya Islam. Namun dalam sambutannya, kerajaan negeri itu turut menyediakan artis-artis sebagai hiburan.

Di dalam mencemuh pihak lawan, ulama-ulama parti politik begini tidak menyedari bahawa mereka sendiri bersikap riak atau ujub.

Mereka mendakwa Islam itu sempurna. Tetapi mengapa mereka mencemarkan Islam? Jika parti politik mereka yang didakwa Islam itu baik, mengapa mereka perlu mencela parti lawan sebagai khianat?

Paksa tutup kedai arak tidak Islamik

Parti politik bukanlah cara nabi seperti yang difahami para ulama yang menyertai parti politik. Jika parti politik itu cara Islam, terimalah jika pemimpin yang dipilih adalah perasuah, kerana suara teramai adalah pemenang.

Masyarakat yang baik akan memilih pemimpin yang baik dan begitu sebaliknya. Namun ulama-ulama ini hanya ingin mengubah negara, sedangkan mereka lupa negara itu terdiri daripada individu-individu.

Para ulama ini lebih berminat untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara bagi tujuan misalnya untuk melaksanakan hukum hudud. Menutup kedai arak nampak sangat Islamik, tapi yang sebenarnya Islam adalah keadaan di mana kedai arak ditutup kerana tiada pelanggan.

Bagaimana untuk meniadakan pelanggan? Mustahil. Namun setidak-tidaknya usaha dilakukan untuk mengurangkan pelanggan, walaupun tujuan kita adalah menghapuskan arak di kalangan orang Islam. Tiada cara lain untuk mencapainya selain melalui dakwah dan bukan dengan pemaksaan seperti menutup kedai arak.

Sememangnya ulama-ulama parti ini ada menyebarkan ayat-ayat dakwah dalam ceramah mereka. Namun tujuan ayat-ayat itu disebarkan adalah untuk memenangi undi dan bukan bertujuan merebut hati masyarakat supaya menjadi berakhlak.

Banyak ayat-ayat al-Quran dipetik untuk membenarkan puak mereka. Dengan itu, Islam telah dipolitikkan. Parti ini hanya mengumpul penyokong, tapi tidak membina individu Islam yang sebenar. Mereka tiada pengikut tulen, tetapi terpengaruh dengan label Islam.

Habuan kepada pengundi

Cuba kita renung sejenak. Bolehkah parti ini menentang rasuah sedangkan pada musim pilihan raya ia telah mengagihkan habuan kepada bakal pengundi? Habuan ini dalam bentuk gula, kain pelikat dan sebagainya. Ini adalah rahsia umum. Mereka mendakwa lawan mereka juga membahagikan wang untuk bakal pengundi tetapi sama ada sebutir gula, atau sejuta duit, semua itu terhisab sebagai rasuah.

Bezanya mereka tiada dana yang besar untuk membahagikan wang yang banyak. Jika mereka telah berjaya memurnikan pegangan penyokong mereka, mengapa mereka perlu mengagihkan habuan tersebut? Sedangkan para ulama ini telah mengajar penyokong mereka bahawa kaedah Islam adalah berjuang tanpa mengharapkan balasan dunia.

Para ulama ini sebahagiannya mempunyai cita-cita murni untuk membentuk sebuah masyarakat Islam seperti di Madinah. Tetapi mereka telah sesat jalan dalam mencapai tujuan mereka dan tidak mengambil iktibar dari perjalanan sirah nabi. Untuk mengamalkan kewajipan agama, kita tidak perlukan negara Islam.

Tetapi negara Islam perlukan umat Islam yang mengamalkan akhlak Islam yang tulen. Apalah gunanya sebuah rumah yang bersih, tetapi penghuninya pengotor? Akhirnya sampah-sarap akan memenuhi rumah tersebut. Ringkasnya, penghuni itu sendiri perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Soalnya, apakah sumbangan mereka dalam membentuk cara hidup dan akhlak Islam? Para ulama sebegini akan terbelit dengan hujah-hujah untuk membenarkan puak mereka semata-mata. Kita ambil contoh mudah – isu seorang pembesar yang ditawarkan pakej umrah ke Mekah.

Kenapa dia ditawarkan pakej itu? Layakkah dia menerimanya? Apa tujuan dia ditawarkan? Atas dasar apa? Siapakah penawarnya? Tidakkah ia dikhuatiri ada unsur-unsur rasuah? Banyak soalan perlu ditanya dan dijawab.

Namun tiada jawapan diberikan kerana taksub dengan kebenaran yang diyakini berada di pihak mereka, tiada jawapan yang diberi. Maka bersuaralah puak-puak mereka menyatakan pembesar parti lawan juga menerima tawaran yang berbau rasuah.

Assabiyah moden sembah pengundi

Dengan angkuh mereka menyatakan, lawan mereka lagi dahsyat kerana menerima pakej ke tempat-tempat maksiat, bukan ke tempat suci. Lagi hujah mereka, kafir Quraisy moden telah menghalang pembesar tadi ke Mekah sepertimana terjadi kepada baginda nabi suatu masa dahulu.

Tidakkah di sini berbelit-belit? Kenapa isu ini tidak dijawab dan dirujuk dengan sirah perjalanan nabi?

Inilah sikap politik ulama dalam parti. Jika lawan mereka berbuat salah, mereka merujuk al-Quran dan sunnah nabi untuk menjatuhkan hukum. Jika mereka melakukan kesalahan yang sama, mereka mengelak dari menjawab dengan menuduh pihak lawan juga melakukan kesalahan yang sama.

Tindak-tanduk ini melemparkan diri mereka sendiri ke lembah assabiyah iaitu sifat perkauman yang hanya mengenal kaum dan puak sendiri. Sifat-sifat ini menjadikan parti politik yang mereka dakwa Islam itu juga assabiyah.

Assabiyah tidak mengenal siapa betul siapa salah. Sama ada puak mereka betul atau tidak, puak mereka mesti dipertahankan. Puak lawan harus ditentang walaupun kebenaran berada di pihak lawan.

Dalam senario hari ini, semua tindakan yang dibuat oleh lawan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Adalah tidak logik jika semua tindakan lawan mereka itu salah dan tidak ada yang betul.

Semua ini terjadi kerana mereka hanya mengejar kemenangan dalam politik. Inilah assabiyah moden yang tanpa sedar telah menyembah masyarakat pengundi sebagai tuhan.

Seperti yang kita maklumi, nabi mengajar dan menghidupkan agama namun baginda tidak mengutamakan negara. Nabi mengutamakan individu-individu yang membentuk masyarakat itu. Lupakah mereka pada janji Allah bahawa Allah akan membantu urusan dunia kita jika kita membantu menegakkan agama-Nya?

Politik dakwah

Diulangi lagi, politik dalam Islam bukanlah politik seperti yang ditafsirkan oleh ulama-ulama parti hari ini. Politik nabi adalah dakwah, tabligh, tarbiah dalam memenangi hati manusia demi mencapai keredhaan Allah. Politik yang diamalkan ulama-ulama parti hari ini adalah mengikut tafsiran barat, iaitu parti politik untuk memenangi negara.

Seeloknya ulama-ulama ini mengambil iktibar surah Al-'Asr – selepas beriman dan beramal soleh, dakwah mengambil peranan, iaitu menyebarkan kebenaran. Dan usaha ini mesti dilakukan dengan penuh kesabaran.

Bagi saya, warganegara biasa ini, jika perubahan politik di Malaysia berlaku pada pilihan raya akan datang, tiada apa yang berubah ke arah yang lebih baik. Yang berubah hanya siapa pula yang akan dituduh perasuah dan penipu.

Begitu juga sebaliknya kerana pemimpin yang akan dipilih tergolong dari kalangan masyarakat yang sama. Pemimpin yang zalim adalah bayangan masyarakat yang zalim di bawahnya dan keadaan ini akan dipersalahkan kepada pemerintah yang terdahulu.

Akhirnya, musuh sebenar orang Islam bukanlah orang Islam. Dalam konteks Malaysia, musuh sebenar PAS bukanlah Umno. Musuh sebenar manusia adalah kejahilan, seperti kata khalifah keempat Saidina Ali. Di sinilah peranan ulama yang sebenarnya seperti diwariskan nabi.

Tulisan ini diharap tidak selesai di sini. Seperti anjuran nabi, “pendapat saya mungkin salah, dan pendapat kamu mungkin juga betul.” Marilah kita berbincang. Bukan mengajak berdebat di hadapan awam untuk mendapatkan kemenangan dan sokongan undi.

Kepada semua, marilah kita menguatkan agama. Dengan menghayati dan menghidupkan amalan-amalan agama, semua yang kita dakwa rasuah, kezaliman dan semua kebatilan akan menyingkir.

Janganlah kita menjadi keldai yang sekadar membawa kitab-kitab di atas pundaknya.

- - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Azman Hussin berkarya dalam bidang sastera sejak tahun 1998 dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998-1999 dalam kategori cerpen.


Tulisan ini merupakan pendapat penulis.


Related Posts



Tentang-Aku

My photo
kata salah ! tak kata salah ! dunia-oh-dunia !

MyPersonality

Click to view my Personality Profile page

Arkib

 
Copyright © dunia-oh-dunia ! | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog