Saturday, March 20, 2010

Politik katak

Saturday, March 20, 2010 |
Rasa macam nak komen isu ni, tapi baik serah kepada yang pakar jer laa…



1. Bila Sudah Bercerai...
Sumber : Zukri Aksah


Isteri saya seorang peguam syarie, yang beramal melalui firma guaman syarie miliknya sendiri. Antara kes terbanyak yang dibawanya adalah kes perceraian, juga kes-kes selepas perceraian seperti tuntutan nafkah, anak dan harta sepencarian.

Sepanjang yang saya lihat biasanya perceraian berlaku kerana sebab-sebab semasa, bukan kerana ketidakpuashatian yang panjang dalam tempoh perkahwinan. Contohnya seperti tiba-tiba diketahui suami berkahwin dua, suami hilang sumber pendapatan utama, pertengkaran, kehadiran pihak ketiga sama ada di pihak isteri atau suami dan sebagainya.

Tetapi bila sudah masuk mahkamah panjang pula ceritanya. Kalau asalnya bekas isteri memohon cerai fasakh kerana suaminya berkahwin dua, bila dalam mahkamah perinciannya menjadi panjang lebar, diungkit segala macam perkara yang berlaku dalam perkahwinan. Kononnya si suami tidak pernah memberi nafkah zahir kepadanya, walhal dia datang ke mahkamah dengan keadaan fizikal yang cukup sihat walafiat, tiada pula tanda-tanda tidak cukup makan.

Maka dituntutlah macam-macam, tunggakan nafkah, nafkah edah, mutaah dan sebagainya. Si bekas suami pula, untuk mengelak dari dihukum bersalah dalam hal ini, mendakwa si bekas isteri tiadalah berhak untuk mendapat semua ini, kerana si bekas isteri telah nusyuz kepadanya sewaktu dalam perkahwinan. Bukan susah membawa cerita, diberitahulah pada satu malam dalam perkahwinan kerana tidak mahu lepas satu rancangan televisyen, si bekas suami melaung dari tengah rumah, "Yang, buat kopi panas secawan!" Si isteri yang baru mahu duduk selepas meletak kain yang dilipat dalam almari sudah naik angin, "Uhhhh! Tangan ada, sudu ada, gula ada, kopi ada, air ada, abang pergi buat sendirilah."

Begitulah kisah selepas bercerai, semua keburukan mahu diungkit, padahal mereka bukan bercerai kerana itu, bukan kerana wang-ringgit, makan-pakai mahupun kopi secawan. Perceraian bukan hanya berlaku dalam perkahwinan, ia juga berlaku dalam perhubungan politik. Bila perhubungan politik tercerai, maka sama seperti perceraian perkahwinan, emosi marah membawa kepada terungkitnya cerita buruk dalam kelambu, dalam kain masing-masing.

Inilah yang kita saksikan mutakhir ini, kita dipersembahkan dengan gelagat buruk orang bercerai politik, seperti Salehuddin Hashim, Zahrain Hashim (maaf, mereka bukan adik-beradik), Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng, seorang bekas Setiausaha Agung dan empat Ahli Parlimen dari PKR.
Biasalah selepas bercerai, semua tidak kena, semua tidak baik, diungkit segala serba mak nenek, seolah-olah parti yang mereka wakili selama ini tiada kebaikan langsung, walaupun saya percaya setiap seorang dari mereka ini hanya ada satu sebab mengapa mereka bercerai dengan parti mereka. Dalam kelantangan dan kelancangan mereka, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, mereka terlupa sekurang-kurangnya satu kebaikan bekas parti mereka itu, bekas parti merekalah yang memberi peluang kepada mereka menjadi calon pilihanraya, Presiden bekas parti merekalah yang menyerahkan watikah bagi membenarkan mereka bertanding, pekerja bekas parti dan parti sahabat merelah yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen sehinggalah meraih dan merayu undi untuk mereka ketika hari pengundian, sampailah mereka menang dan bergelar Ahli Parlimen.


Biasalah juga selepas bercerai, bekas parti mereka ini dakwa mereka tiada jasa, buat apa mereka mahu letak jawatan, jawatan Ahli Parlimen mereka itu amanah rakyat katanya. Amanah rakyat? Pooorahhh… Mereka lupa mereka mendapat kepercayaan rakyat dahulu sebab parti meletakkan mereka di situ sebagai calon. Sebelum mereka mendapat kepercayaan rakyat, terlebih dahulu mereka mendapat kepercayaan parti. Lalu sebagai calon yang menang kemudiannya dan bergelar Ahli Parlimen, mereka sebenarnya membawa dua amanah, amanah parti dan amanah rakyat. Ingat! Di kertas undi tempohari bukan hanya ada nama Zahrain Hashim, Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng sahaja, tetapi di sebelah setiap nama mereka, ada lambang parti yang mereka wakili. Rakyat memberi amanah kepada mereka atau kepada parti? Dan sekarang mereka khianat kepada siapa?

Sama seperti pasangan berkahwin yang bercerai, orang yang bercerai politik ini juga menuntut macam-macam, mendakwa macam-macam. Ada yang tuntut Anwar letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, tuntut Wan Azizah letak jawatan, mendakwa Lim Guan Eng diktator, cauvinis dan komunis, peliknya di antara lima yang keluar dari PKR, yang membuat tuduhan inilah yang keluar dengan imbuhan paling besar, keluar dengan gelaran Datuk Seri! Dan untuk mendapat gelaran tersebut, namanya mestilah dicadang oleh Lim Guan Eng sendiri kepada Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang!

Tidak cukup dengan ini, si Zahrain Hashim mengamuk pula di Parlimen, mendedahkan (kononnya) perancangan "rampasan kuasa" 16 September Anwar Ibrahim. Katanya Anwar Ibrahim kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6, habis semua orang mahu dilibatkannya, Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Parlimen BN, tentera, juga Yang DiPertuan Agung. Sikap ini samalah dengan sesetengah bekas suami atau isteri yang bercerai, kerana tidak puas-hati, semua mahu dikaitkannya, adik-beradiklah, ipar-duai, sepupu-sepapat, ibubapa, mertua sampailah kaum-kerabat jauh dan dekat serta rakan dan sahabat.

Menguatkan hujahnya ini, Zahrain cakap sebab itulah nombor plet kereta Anwar 6. Ehhh… salahkah itu, kalau tidak silap ingatan saya, sewaktu kempen PRU2008 yang lalu, antara poster PKR yang paling banyak bertebaran adalah poster Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-6, ia senjata perang psikologi politik. Saya percaya poster ini banyak tertampal di Parlimen Bayan Baru sewaktu Zahrain Hashim bertanding di sana. Mahu tidak mahu, Zahrain terpaksa mengaku yang antara penyumbang kemenangannya di situ adalah kerana pengaruh psikologi poster tersebut. Untuk membuktikannya, Zahrain boleh sahaja menjadi politikus budiman seperti Shahrir Samad yang berani meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Umno Johor Bharu, kemudiannya bertanding semula sebagai calon bebas dan menang. Apakah Zahrain percaya BEBAS boleh memberi pengaruh psikologi sehebat itu kepada pengundi Bayan Baru?

PKR pula dalam usaha mempertahankan diri, menganggap mereka yang bercerai dan dicerai dari parti ini adalah Ahli Parlimen dan bekas pemimpin parti yang "nusyuz." Sebahagiannya boleh dibuktikan kerana orang-orang seperti Zahrain, Zulkifli Noordin dan Tan Tee Beng sudah berlagak meninggikan suara sejak sebelum menjadi bebas lagi. Orang nusyuz tidak berhak kepada harta, wa'ima tempat tinggal sekalipun. Tempat tinggal mereka sekarang, Bayan Baru, Kulim Bandar Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal adalah tempat tinggal ketika mereka masih dalam PKR, Zulkifli Noordin yang sentiasa berkopiah itu mungkin boleh mengulas.

Cumanya, dalam kes perceraian perhubungan politik, tidak ada mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil yang boleh mengadilinya, yang ada cumalah mahkamah rakyat, itupun bersidang lima tahun sekali sahaja.


2. Buaya Kalau Sudah Terlalu Lapar Kawan Pun Dia Makan
SUMBER : mso

MEMANG tidak sepatutnya nama Yang Dipertuan Agong dan Angkatan Tentera dipermain-mainkan atau dipersendakan untuk apa juga tujuan. Apa lagi bagi mencapai matlamat politik peribadi ia sesuatu yang sungguh menyedihkan. Yang Dipertuan Agong adalah kemuncak kepada institusi pemerintahan negara ini. Institusi itu adalah lambang martabat dan maruah bangsa dan negara.

Manakala tentera pula adalah pasukan pertahanan keselamatan negara yang paling tinggi dan boleh dianggap merekalah penjaga nyawa sesebuah negara.

Jadi tidak moleklah kalau nama kedua institusi ini dipermainkan. Tidak kira sesiapa, baik pihak pembangkang atau pun pihak parti yang memerintah. Membabitkan nama Agung dan tentera dalam agenda politik sesuatu yang tidak patut. Agong adalah milik Malaysia dan begitu juga tentera adalah hak negara yang tidak boleh disalahmilikkan baik secara langsung atau tidak oleh sesiapa saja pada bila-bila masa jua.

Mereka tidak akan berpihak kepada mana-mana. Baik Agong atau tentera mereka akan melaksanakan tugas menurut perlembagaan dengan penuh keadilan. Keutamaan mereka ialah negara dan bukan memenuhi kepentingan politik bersifat peribadi. Bayangkan kalau mereka berpihak, negara ini akan hancur.

Selama ini belum kedengaran bahawa baik Agong (mana-mana Sultan yang menjadi Agong) berpihak kepada mana-mana pihak. Demikian juga dengan pasukan keselamatan khususnya tentera. Pasukan ini tidak pernah mencampuri urusan politik secara zahir melainkan di kalangan anggota (individu) yang dikerah dan dipaksa mengundi satu-satu parti.

Jadi apabila ada ahli parlimen mendakwa Anwar Ibrahim
menggunakan nama Agong dan tentera ia satu tuduhan atau fitnah yang serius. Tuduhan itu perlu disiasat sewajarnya. Kalau didapati tuduhan itu benar, wajar kalau tindakan dikenakan. Sebaliknya kalau tuduhan itu hanya sebuah ilusi dan pemanis mulut saja di samping melepaskan geram kemarahan, ia adalah tindakan yang amat bodoh sekali yang layak disebut oleh mereka yang catat akal politik.


Kenapa saya mengatakan bodoh kerana mencari modal yang tidak masuk akal.Si penuduh itu perlu bertanggungjawab. Beliau kena sedar apa yang beliau ucapkan itu mengundang bahaya dan musibah. Ia memberi implikasi berbagai-bagai. Ia bukan boleh dianggap sebagai modal politik kedai kopi tetapi ia membabitkan maruah banyak pihak. Misalnya kalau tuduhan itu benar, kenapa Agong dan pihak tentera tidak bertindak ke atas Anwar. Mustahil kalau ada penjualan nama Agong dan tentera itu risikan mereka tidak mengetahuinya? Naif sangatlah mata telinga Yang Dipertuan Agong dan juga pasukan keselamatan. Kenapa tidak dilarang?

Secara peribadi dan menganggap seseorang ahli parlimen itu ada wibawa saya menerima dakwaan ahli parlimen berkenaan. Pendedahan yang dibuat itu boleh dianggap benar. Saya tidak fikir beliau berbohong dalam tempat sesuci dewan. Tetapi apa yang menjadi kemusykilan saya ialah kenapakah ianya didedahkan selepas setahun? Kenapa tidak didedahkan sejak awal-awal lagi sebaik saja beliau mendapat maklumat propaganda itu?

Projek 16 September ialah pada 16 September 2008. Hari ini usianya sudah setahun lebih. Sudah setahun enam bulan. Satu tempoh yang cukup lama. Kucing yang baligh sudah melahirkan tiga kali anak. Kalau mengikut pendedahan penggunaan nama Agong dan tentera itu bermula sebaik projek itu hendak dilancar dan sampai ke klimeksnya. Saya ingin tanya kenapa ahli parlimen atau sekian orang yang tahu mengenainya kenapa tidak dilaporkan kepada polis?

Kenapa hari ini setelah ahli parlimen berkenaan mencuri simbol parti PKR untuk duduk dalam blok bebas di parlimen baru didedahkan? Baru rasa insaf dan baru rasa ada tanggungjawab kepada negarah? Apalah selama setahun lebih dahulu ahli parlimen berkenaan dipukau dan disihirkan agar jangan menceritakan kepada sesiapa. Begitukah?

Kalau seseorang ahli parlimen itu boleh dipukau begitu saja ia menunjukkan lemahnya daya fikir dan daya tindakan seseorang itu. Ataua apakah semasa projek itu dilancarkan dan nama Agong dan tentera itu dikaitkan ahli parlimen berkenaan juga bersetuju? Beliau juga mengharapkan pywar itu sebagai benar dengan harapan mudah-mudahan boleh tumpang hidup untuk semangkuk dua?

Di sinilah menampakkan bahawa pendedahan ke atas perkara yang mungkin benar itu menimbulkan persoalan. Bila ia menimbulkan persoalan maka jelas ada niat jahat yang berkesumat didalam hati ahli parlimen berkenaan. Sekiranya beliau ada tanggungjawab kepada Agong dan tentera sebagai ahli parlimen beliau tidak payah tunggu sampai permohonan untuk mendapatkan apa-apa projek dibatalkan baru hendak bertindak. Beliau seharusnya bertindak degera sebaik mendengarnya. Seorang patriotik tidak akan bertolak ansur dengan kepentingan diri lain tetapi dia akan mengutamakan maruah bangsa dan negaranya.

Saya yakin kalau segala-gala beres, ahli parlimen itu tidak akan keluar parti dan mendedahkan apa yang didakwa itu. Beliau akan kekal di dalam PKR sehinggalah bahan bekalan habis. Ahli parlimen sebegini tidak ubah seperti buaya yang bertapa dalam jelumun selagi makanannya ada dan cukup. Buaya ini akan keluar bila makanannya sudah habis atau berkurangan. Selalunya buaya yang lapar akan membaham apa saja termasuk bangai biawak cabuk. Kalau terlalu lapar buaya juga tergamak memakan rakan-rakannya sendiri.

Hendaknya rakyat dapat membuat analisa mengenai perkara ini sebaik-baiknya. Kita bukan mahu sekongkol dengan kebejatan dan pengkhianat negara tetapi kita juga harus hati-hati kepada pada desperado yang akan melakukan apa saja untuk memastikan jamban mereka berfungsi. Jadi kalau kita bertindak dan percaya atas kata-kata mereka yang suka 'menjamu' jambannya alangkah kita juga dangkal sama sepertinya.
[wm.kl. 9:00 20/03/10]


3. Rombakan kabinet?
SUMBER : Jelapang

Spekulasi mengenai rombakan kabinet menjadi buah mulut ramai apabila Najib Razak bercakap mengenai perlunya beliau menilai prestasi Menteri Kabinetnya setiap enam bulan.


Tetapi apabila selepas enam bulan perlantikan anggota Kabinet dibuat dan tiada sebarang rombakan dilakukan, spekulasi tersebut sepi berikutan kenyataan Najib bahawa beliau puashati dengan prestasi Menteri-Menteri beliau.

Hari ini MCA mengumumkan bahawa ia akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan 28 Mac nanti. Dengan kata lain, akan ada anggota Kabinet dari MCA yang akan tewas dalam pemilihan nanti. Mungkin Ong Tee Keat, mungkin Kong Cho Ha, mungkin Ng Yen Yen dan mungkin Liow Tiong Lai. Menteri MCA yang tewas akan hilang jawatan Kabinetnya.

Bulan April nanti, cukuplah setahun Najib menjadi Perdana Menteri, begitu juga dengan anggota Kabinetnya. Kini tibalah masanya prestasi Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dinilai. Perdana Menteri akan dinilai prestasinya oleh rakyat sementara Najib akan menilai prestasi Menteri-Menterinya.

Ada Menteri yang diselubungi kontroversi yang menyaksikan dua Setiausaha Politiknya disiasat SPRM, ada Menteri yang sudah berusia 68 tahun dan dilihat tidak sesuai di portfolio beliau kerana pandangan purba beliau terhadap medium komunikasi baru seperti YouTube, Facebook dan Twitter.

Ada Menteri yang sibuk menembak kaki Perdana Menteri dari membantu menaikkan populariti beliau. Ada Menteri seperti yang dilihat tidak sensitif terhadap masalah rakyat apabila menaikkan harga gula dengan memberi alasan untuk mengurangkan kes-kes kencing manis.

Ada Menteri yang asyik ke luar negeri tanpa sebarang hasil. Ada Menteri yang asyik bercakap mengenai pelaburan asing tetapi entah bila pelaburan asing akan datang ke Malaysia dan ada Menteri yang asyik memberi amaran tanpa sebarang tindakan. Ada Menteri yang asyik mengekori isteri Perdana Menteri ke sana ke mari.

Ada juga bekas Menteri yang melobi untuk kembali sebagai Menteri dan ada juga kaki demonstrasi yang betul-betul kempunan nak jadi Menteri. Ada juga MP yang baru kahwin artis teringin nak jadi Menteri.

Yang pasti, Najib akan membuat rombakan kepada kabinet beliau dan rombakan ini akan berlaku selepas April nanti apabila tamatnya sidang Parlimen yang akan bermula seminggu dari hari ini.

Kabinet sekarang merupakan kabinet campuran Kabinet Najib-Pak Lah. Selepas 28 Mac nanti adalah peluang keemasan untuk Najib menamakan Kabinet beliau sendiri yang 100 peratus orang Najib.

Itupun sekiranya Najib benar-benar serius untuk membawa perubahan atau samada Najib berani membuat perubahan.


Related Posts




Tentang-Aku

My photo
kata salah ! tak kata salah ! dunia-oh-dunia !

MyPersonality

Click to view my Personality Profile page

Arkib

 
Copyright © dunia-oh-dunia ! | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog